KUALA LUMPUR: “Saya nekad mahu buktikan
walaupun ditempatkan di kelas tercorot saya juga mampu memperoleh
keputusan cemerlang dalam pelajaran seperti murid lain,” kata Siti Aisyah Mawardi, 12, yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Siti Aisyah yang tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya bercerai enam tahun lalu adalah antara 41 murid memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan Sentul 1 di sini, semalam.
Dia juga tidak menyangka akan mendapat
keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berikutan ketika
peperiksaan percubaan UPSR hanya memperoleh 4B 1C. “Keputusan yang
kurang memberangsangkan itu menyebabkan saya terus membanyakkan ulang
kaji mata pelajaran yang lemah. Saya juga bersyukur kerana selain selalu
dibantu guru di sekolah, nenek juga tidak jemu memberi dorongan dan
sokongan,” katanya.
Ditanya resipi kejayaannya, Siti Aisyah
berkata, dia memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas serta
sentiasa menyiapkan kerja sekolah selain mengikuti kelas tambahan
disediakan pihak sekolah.
Sementara itu, Kamaliah Nasuha Azuan, 12, dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1,
kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR berbaloi dengan usaha kerasnya
selama ini walaupun terpaksa menyeimbangi antara latihan sukan dan
akademik.
Kamaliah yang pernah mewakili sekolahnya
dalam sukan bola jaring hingga ke peringkat negeri berkata, walaupun
penat menjalani latihan kokurikulum di sekolah, dia cuba mencuri masa
dua jam untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.
“Saya bercita-cita menjadi atlit negara dalam sukan bola jaring,” katanya.
Selain itu, katanya, keputusan yang
diperoleh semalam agak mengejutkannya kerana tidak menyangka mampu
memperoleh 5A berikutan dia agak lemah dalam subjek Sains.
“Sebelum ini pun saya hanya memperoleh B bagi subjek Sains. Saya tak percaya boleh dapat A,” katanya.
No comments:
Post a Comment