Apakah hukumnya jika kita bercerita mengenai masalah rumahtangga kita kepada orang yang kita percaya,contohnya kawan karib?
JAWAPAN
Hukum menceritakan permasalahan rumahtangga tertakluk kepada jenis penceritaannya.Sekiranya cerita yang dikongsi berbentuk mengumpat,mengeji,menghina atau merendahkan martabat seseorang,maka hukumnya haram dan berdosa.Sekiranya penceritaan berbentuk positif untuk tujuan memberi peransang atau pujian yang ikhlas maka hukumnya adalah harus.Apabila berbentuk ingatan seperti menceritakan keburukan sikap seseorang dengan tujuan minta rakan kita berhati-hati dengannya seperti memberitahu sipulan adalah seorang yang suka mencuri,maka hukumnya menjadi harus juga kerana tujuan untuk pencegahan daripada rakan kita terkena/teraniaya.
SOALAN
Hukum Bedah Plastik, Botox, Susuk dan 'Braces'..
JAWAPAN:
Isu Botox telah dibincangkan
dan diftawakan oleh Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia. Muzakarah mereka kali ke-74 bermula pada 25
hingga 27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A
atau nama komersialnya Botox adalah haram digunakan kerana ia didapati
mengandungi bahan-bahan yang meragukan dan bersifat najis.
SEBAB UTAMA BOTOX HARAM
Bagaimanapun isu utama yang menyebabkan ia menjadi Haram pada pandangan Shariah adalah :-
a) Unsur najis dan kotoran di dalam bahan BOTOX
; kajian mendapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lain
mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang
boleh mendatangkan mudarat.
Dalam Islam, terdapat dalil yang menyebut "Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat"
b) Pengubahan Ciptaan Allah Tujuan Tambah Kecantikan :
Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang
keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang
dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain
bertujuan kosmetik. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan
perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus
dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki
organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk
mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal. Dalil
yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan
adalah berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa' iaitu Allah
berfirman yang bermaksud:
"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.'
Ulama tafsir memiliki tiga
pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang
sudah ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan
serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan
batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu
menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya
Terdapat juga hadith yang menyebut :
"Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya." (Riwayat Thabarani)
Tatoo, iaitu memberi tanda
pada muka dan kedua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran.
Sebahagian orang-orang Arab, khususnya kaum perempuan, mentatoo
sebahagian besar dari tubuhnya. Bahkan dimasa pengikut-pengikut agama
membuatnya tatoo dalam bentuk persembahan dan lambang-lambang agama
mereka, misalnya orang-orang Kristian melukis salib di tangan dan dada
mereka.
Perbuatan-perbuatan yang
buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan
menyiksa dan menyakiti badan, iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada
badan orang yang ditatoo itu. Semua ini menyebabkan laknat, baik
terhadap yang mentatoo ataupun orang yang minta ditatoo.
KIKIR GIGI DAN ‘BRACES'
Dan yang disebut mengikir gigi dalam hadith di atas, iaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan oleh perempuan. Karena itu Rasulullah melaknat perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang kikir) dan minta supaya dikikir. Kalau ada laki-laki yang berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat laknat.
Termasuk diharamkan seperti
halnya mengikir gigi, yaitu menjarangkan gigi. Dalam hal ini Rasulullah
pernah melaknatnya, yaitu seperti tersebut dalam hadisnya:
"Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yang disebut
‘al-Falaj', yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak
agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah
dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia
meletakkan sesuatu di sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya
giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain
dan berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan dengan
jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini
adalah ‘trend' Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik. Adapun
pada hari ini, kebanyakkannya sudah menukar ‘style' mereka kepada
merapatkan gigi menggunakan ‘braces' yang yang bertujuan MENCANTIKKAN
susunan gigi. Ketika itu, hukum haram
yang sama jatuh pada perbuatan merapatkan gigi bagi tujuan kecantikan.
Adapun jika ia dilakukan bagi inidivud yang mengalami kemalangan dan
bertujuan mengubatnya, ia menjadi harus.
Dari hadis-hadis yang telah
kita sebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui tentang hukum
pembedahan kecantikan seperti yang terkenal sekarang kerana bagi
memenuhi selera nafsu dan syahwat, iaitu kebudayaan Barat yang amat
materialististik, sehingga begitu ramai perempuan dan laki-laki yang
mengorbankan wangnya beribu-ribu untuk mengubah bentuk hidung, payudara
atau yang lain. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan RasulNya,
karena di dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan
Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian,
melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat ‘show' dan
lebih mengutamakan pada bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani
daripada rohani.
Bagaimanapun Syeikh Dr Yusof
Al-Qaradawi menyebut : "Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai
cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging
tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu
adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan
menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya.
Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh
kesukaran" (Al-Halal wal Haram Fil Islam )
c) Unsur Penipuan : Mengandungi unsur penipuan yang diharamkan Islam.
Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan produk kosmetik botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.
Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :
"Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)
Hadith larangan ini
menunjukkan kepada larangan penipuan umur, ini kerana uban yang
dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari
kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam. Hal ini
samalah seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki
yang kulitnya sudah kelihatan tanda ketuaan, bagi mengekalkan rupa
mudanya, maka mereka melakukan botox dan lebih teruk lagi susuk.
SUSUK & SIHIR
Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran.
Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan:
"Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (al-Baqarah: 102)
Rasulullah s.a.w. menilai
sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan
sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan derajat pelakunya di dunia ini
lagi. Justeru itu Nabi bersabda:
"Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, yaitu: 1) menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak; 4) makan harta riba; 5) makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebahagian ahli fiqh
menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur.
Sementara ada juga yang berpendapat; ahli sihir itu wajib dibunuh demi
melindungi masyarakat dari bahaya sihir.
Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, yaitu firmanNya:
"(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul." (al-Falaq: 4)
Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan:
"Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik." (Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)
Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.
Jelas, bahawa pemakaian
susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya
kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui
hadith-hadith yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada
tangkal dan menggantungnya.
Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk
digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam
keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.
KESIMPULANNYA
Botox atau pembedahan plastik yang dibenarkan ialah jika tidak dilakukan akan mendatangkan mudarat kesihatan kepada individu, mengembalikan kecacatan kepada bentuk kejadian manusia normal. Manakala susuk tidak dibenarkan sama sekali.
Tujuan yang tidak
dibenarkan adalah untuk kelihatan lebih cantik dari apa yang
dianugerahkan, pembedahan mendatangkan lebih bahaya dan memudaratkan.
Syarat pembedahan kosmetik
dibenarkan Islam: memiliki keperluan tidak bercanggah syariat untuk
melakukan pembedahan; untuk tujuan kesihatan semata-mata dan tiada niat
lain; mesti diakui doktor Islam dan pakar dalam bidang itu; doktor
yakin pembedahan boleh berjaya dilakukan tanpa risiko bahaya dan
mudarat; mendapat persetujuan pesakit dan wali.
Peraturan umum kecantikan
Islam: tidak mengubah ciptaan Allah; tidak memudaratkan diri seperti
kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur
penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur
najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir
dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya saja;
mengikut syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam.
Jika botox itu menggunakan bahan suci sekalipun, ia tetap haram kerana dua ‘illah(sebab utama) pengharaman masih ada.
|
No comments:
Post a Comment