Jangan Lupa, klik le di sini, thanks!

FOLLOWERS

Showing posts with label TIPS WANITA. Show all posts
Showing posts with label TIPS WANITA. Show all posts

Sunday, February 5, 2012

CARA AJAR ANAK SOLAT

Usaha mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Ibu bapa perlulah sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat menjadi darah daging anak-anak. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak masih kecil bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya.
Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya berbanding pencapaian-pencapaian lain di dalam hidup anak-anak. Kita mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat, bilakah masanya mereka akan mendoakan kita.
Di sini dikongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, moga bermanfaat!
Berdoa
Sesungguhnya doa itu senjata orang-orang mukmin, maka untuk mendapat anak yang sentiasa melaksanakan solat , jadikanlah doa-doa sebagai  kebiasaan kita. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."
"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.."
Bacakan doa ini sentiasa dan biarkan mereka mendengarnya, berdoalah sejak mereka belum lahir sehinggalah mereka sudah dewasa. Moga-moga mereka akan terus istiqamah dengan solat sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Membiasakan anak-anak dengan solat
Umur 0-2 tahun
Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil
Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar"
umur 2-4 tahun
Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : "Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!" Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita.
Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya "Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat." Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat

Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : "Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!"
Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut.
Jangan sesekali berkata kepada anak : "Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat." Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.
Mengajar anak solat
Umur 5-6 tahun
·         Ajarkan mereka bacaan dan pergerakan solat yang betul. Jika ibu bapa tidak mampu, hantarlah mereka ke Tadika/tempat pengajian yang mengajar anak-anak solat. Solat secara praktikal di sekolah sangat membantu anak-anak belajar solat dengan lebih bersemangat dan gembira.
Praktikal solat yang dibuat di Tadika Nursyifa, sangat membantu anak-anak belajar solat. Yang paling melucukan, anak-anak ini akan berebut untuk menjadi imam, bukti keyakinan mereka untuk menjadi ketua!
·         Sesekali ajaklah mereka ke masjid  atau surau untuk solat berjemaah, namun ingatkan mereka selalu untuk menjaga adab-adab di rumah Allah.
·         Terangkan kepada mereka tentang kefardhuan dan kepentingan  solat bagi setiap orang Islam supaya dia solat bukan hanya ikut-ikutan tetapi kerana kefahaman yang betul.
·         Ceritakan juga kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang solat.
·         Boleh galakkan mereka solat dengan menonton video-video yang bersesuaian.
·         Sediakan carta solat, dan berikan mereka sticker setiap kali mereka berjaya melaksanakan solat. Sentiasa galakkan mereka untuk solat pada setiap waktu.
Contoh carta solat yang boleh dibuat untuk anak-anak, stiker-stiker comel diberikan setiap kali anak-anak berjaya solat.
Kad ucapan tahniah yang pernah saya berikan kepada anak kerana bangun solat subuh di pagi yang dingin.
·         Sekali sekala, kejutlah mereka untuk solat subuh, walaupun mungkin mereka akan sujud dan terus tertidur, tidak mengapa, bukankah ini hanya masa untuk mendidik mereka.
·         Jika mereka tidak mampu solat subuh pada waktunya, suruhlah mereka solat sebaik sahaja bangun tidur, tidak kisahlah jam berapa, yang penting solat.
·         Bagi ibubapa yang bekerja, biasakan bertanya anak : "Adik dah solat?" selain dari pertanyaan kita berkenaan dengan makan, kerja sekolah dan sebagainya sebaik sahaja kita pulang ke rumah. Biar mereka biasa dengan soalan itu dan mereka dapat merasakan betapa pentingnya solat dalam diari kehidupan seorang muslim.
·         Jika ibubapa menelefon anak, selain bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.
Bersama memupuk istiqamah
Umur 7-10 tahun
Sebaik sahaja anak menginjak usia tujuh tahun, katakan kepadanya : "Bermula tahun ini, adik sudah tujuh tahun, jadi adik mestilah solat lima kali sehari. Tidak boleh tinggalkan solat lagi, tujuh tahun hingga sembilan tahun merupakan tahun latihan solat untuk adik. Jika adik meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun nanti, ayah dah boleh rotan adik. Jadi adik kena berlatih bersungguh-sungguh ok?"
Pastikan anak-anak solat 5 waktu sehari semalam walau apa jua masalah yang melanda. Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat.

Nyatakan kepada mereka tentang realiti masyarakat sekarang yang meringan-ringankan solat, tetapi kita tak mahu jadi seperti mereka. Ceritakan tentang kisah-kisah para sahabat dan orang-orang yang hebat kerana menjaga solat mereka.
Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat
Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!
Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakana kepadanya anda sakit perut. Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat.. Haru dibuatnya!
Mantapkan solat anak-anak dengan mengajar hukum-hukum berkaitan dengan solat seperti rukun-rukun solat, syarat sah solat dan sebagainya, termasuk juga hukum bersuci
Solat tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama. Sama-sama kita mendidik anak-anak dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.
Wallauhua 'lam


KREDIT:

Saturday, September 10, 2011

BELON BOLEH KURUSKAN BADAN?

Belon Untuk Kuruskan Badan?

Hampir lima tahun, Azhar Jamal, 35, telah mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan berat badan, namun usahanya masih menemui jalan buntu.

Beliau berdiet dan mengambil pil untuk mengurangkan berat badannya yang mencecah 135 kigogram(kg), tetapi masih tidak berubah sehingga menyebabkan beliau sering rasa letih dan tidak bermaya ketika melakukan kerja harian.

Azhar mula mengalami masalah berat badan selepas tidak lagi aktif bersukan kira-kira lima tahun lepas dan ditambah pula dengan amalan pemakanan yang tidak sihat sepanjang tempoh berkenaan.

"Ketika saya melakukan pemeriksaan kesihatan, kolestrol dan tekanan darah saya tinggi. Doktor nasihatkan saya supaya turunkan berat badan bagi mengelak menghidapi penyakit lain yang lebih teruk.

"Sejak itu macam-macam cara saya cuba untuk kuruskan badan seperti diet, minum jus, makan pil namun berat badan saya tetap sama," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sehinggalah pada awal tahun lepas dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pakar diet di Pusat Perubatan Prince Court yang mengesyorkan jadual pemakanan dan diet seimbang dalam usaha untuk menguruskan berat badannya.

Pakar berkenaan juga telah mengesyorkan prosedur yang dinamai endoscopic placement of gastric balloon dan akhirnya kini beliau berjaya memperoleh berat badan yang ideal iaitu 93 kg hanya dalam masa enam bulan.

"Melalui prosedur ini saya tidak perlu 'mengorbankan' makanan kegemaran saya iaitu nasi kandar dan tetap makan lima kali sehari, saya hanya perlu kurangkan saiz makanan itu dan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

"Belon yang diletakkan sementara dalam perut itu membuatkan kita cepat kenyang bila makan dan selepas enam bulan belon itu akan dikeluarkan, namun kita perlu meneruskan amalan pemakanan yang baik serta bersenam bagi mengekalkan berat badan ideal.

"Kawan-kawan juga terkejut dengan perubahan berat badan saya sehingga ada yang tak kenal saya lagi, masalah selalu penat dan tak bertenaga juga sudah hilang. Saiz baju yang saya pakai dulu XXXL juga dah bertukar jadi XL," katanya.

Prosedur sementara 

Sementara itu Perunding Pakar Gastroenterologi Prince Court Medical Centre, Datuk Dr. Ryan Ponnudurai berkata, belon gastrik yang diletak menggunakan endoskop adalah direka bagi membantu mengurangkan berat badan seseorang secara ideal iaitu purata 20 kg atau lebih.

Untuk layak menjalani prosedur berkenaan yang tidak memerlukan pembedahan itu katanya, seseorang itu perlu mendapat motivasi dan bersedia untuk menjalani secara serius program yang diselia secara perubatan untuk diet dan senaman.

"Prosedur itu hanya dilakukan ke atas pesakit yang memenuhi beberapa kriteria. Pertama, pesakit hendaklah tidak begitu obes, tetapi hanya mempunyai berat badan yang lebih. Mereka mungkin baru sahaja naik berat badan atas beberapa sebab dan mahu kembali ke berat badan asal masing-masing," katanya.

Dr. Ponnudurai berkata, belon itu akan dimasukkan ke dalam perut untuk tempoh sementara selama enam bulan bagi menimbulkan rasa cepat kenyang dan sentiasa kenyang selepas makan.

"Mereka yang (pesakit) datang, perlu berpuasa semalaman sebelum kami memasukkan alat skop, letakkan belon di kedudukannya dan ia selesai. Dalam belon yang kecil itu, kami masukkan 500 cc air garam dan biarkannya dalam perut.

"Kami letakkan pesakit di pusat itu untuk satu malam. Sebenarnya mereka sudah boleh balik pada hari yang sama tetapi kami mencadangkan agar mereka bermalam sahaja di pusat itu.

"Kami masukkan belon itu dalam perut agar anda tidak boleh makan dengan banyak. Itulah tujuannya. Anda akan sentiasa kenyang dan tiada rasa nak makan," katanya.

Dr. Ponnudurai berkata, jumlah berat yang patut dikurangkan dan dikekalkan oleh pesakit adalah bergantung kepada bagaimana mereka mengikut arahan diet, senaman dan perubahan cara hidup dalam jangka panjang.
"Sebelum prosedur itu bermula, pesakit akan dinilai sepenuhnya oleh pakar psikologi dan diet untuk menentukan prosedur yang sesuai dijalankan ke atas pesakit dan faedah yang akan diperoleh oleh pesakit", katanya.

Dr. Ponnudurai berkata, pesakit akan mengalami ketidak selesaan untuk beberapa hari sementara perut dapat menyesuaikan diri dengan belon. Kemungkinan mereka akan mengalami rasa pening dan muntah selepas prosedur itu.

"Namun ia akan hilang mengikut masa. Mereka perlu mengambil makanan berbentuk cecair untuk dua hari. Setelah mereka dapat menyesuaikan diri dengan belon itu, mereka boleh meningkatkan diet," katanya.
Dr Ponnudurai berkata, kos untuk keseluruhan prosedur itu tidak lebih RM15,000.

"Seramai 15 pesakit telah menjalani prosedur itu sejak kami memulakannya kira-kira dua tahun lepas. Hasilnya memuaskan setakat ini: kesemua pesakit dapat mengurangkan purata 20 kg," katanya

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my