Persoalan
mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan
percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan
perkara yang haram.
Keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada
hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak
berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.
Sebelum ini, Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai
kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian
perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di
laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya
rakyat Malaysia.
Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi
pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana
menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat
Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan.
Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi
membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan
secara lebih mudah.
Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan
menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu
semalam, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar
taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan
pandangan yang dikemukakan.
"Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima
perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa
tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab
atau keturunan perlu dielakkan.
"Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat
berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi
yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik
susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi
syarat ditetapkan," katanya.
Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan,
manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit
kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan
adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang
memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.
Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia
atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum
disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.
Menurut muzakarah itu, tugas seorang doktor ialah menolong pesakit
dalam perkara kebaikan dan perbuatan membantu mempercepatkan kematian
tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi perkara yang dilarang dan
berdosa.
"Bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan
jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan
pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung
kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan
memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.
"Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan mengesahkan pesakit
tiada harapan sembuh dan pesakit dibenar pulang, maka tindakan
memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan diteruskan
adalah dibenar Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam
amalan eutanasia atau mercy killing," katanya.
Muzakarah juga memutuskan dalam kaedah perubatan, mati otak (brain
death) adalah dianggap sebagai suatu kematian apabila disahkan pakar dan
adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya
penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat.
No comments:
Post a Comment